in News

Twistcode Technologies letak Malaysia di peta superkomputer dunia

KUALA LUMPUR: Dengan peningkatan permintaan terhadap kecerdasan buatan dan data besar, pembina dan penyusun superkomputer tempatan, Twistcode Technologies Sdn Bhd, mensasarkan pendapatan RM100 juta menjelang akhir tahun.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurazam Malim Sidik Malim, berkata pendapatan bakal disumbang segmen perisian, perkakasan, serta perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

“Tahun lalu, kami membekalkan superkomputer bernilai RM30 juta kepada beberapa syarikat multinasional, dan kini mengembangkan portfolio ke dalam sektor perbankan, pembuatan, insurans serta penjagaan kesihatan,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, dengan peningkatan permintaan ke arah digitalisasi, sektor penjagaan kesihatan dan insurans mempunyai banyak yang perlu didigitalkan, dengan kebanyakan operasi harian dijalankan secara tradisional ketika ini.

“Kami terbabit dengan mereka untuk memudahkan peralihan ke dalam automasi, serta menyediakan perkhidmatan dengan kecerdasan buatan dan keupayaan untuk melakukan pelbagai prosedur serentak,” katanya.

Superkomputer memiliki tahap prestasi tinggi, yang mampu menjalankan berjuta-juta arahan sesaat, berbanding komputer kegunaan umum.

Twistcode baru-baru ini menduduki tempat ke-88 pada High Performance Conjugate Gradient, senarai yang bertindak sebagai pelengkap kepada penanda aras High Performance LINPACK, yang kini digunakan untuk membuat penarafan ke atas 500 sistem pengkomputeran utama (TOP500).

Syarikat itu juga satu-satunya entiti dari Asia Tenggara yang tersenarai, dan Nurazam berkata ia meletakkan nama Malaysia di peta bagi superkomputer.

“Setakat ini, kami adalah satu-satunya syarikat di Malaysia yang mempunyai sistem dan infrastruktur sendiri dalam bidang superkomputer. Kami merancang membuka pusat data lain di tengah-tengah Kuala Lumpur,” kata Nurazam.

Bagi rancangan masa depan, beliau berkata syarikat itu bercadang mewujudkan dua lagi pusat data di Filipina dan Indonesia menjelang 2020 sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan

Twistcode adalah penerima dana permulaan perniagaan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Ia bekerjasama dengan pelbagai universiti tempatan berkaitan program dan sedang membangunkan algoritma bagi menganalisis hantaran di media sosial dan menyaring berita palsu.

ℹ️
Original Article: Berita Harian